Saturday, August 5, 2023

Rumusan Media Pengajaran Dan Pembelajaran

 

      Media pengajaran merujuk kepada pelbagai alat, teknologi atau bahan yang digunakan untuk menyampaikan maklumat dan bahan pelajaran kepada pelajar dengan tujuan untuk meningkatkan keberkesanan dan kecekapan proses pembelajaran. Media pengajaran terdapat dalam pelbagai format seperti buku teks, audio, video, persembahan multimedia, perisian pendidikan, model fizikal, papan putih interaktif dan lain-lain. Penggunaan media pengajaran yang sesuai dapat meningkatkan kualiti pembelajaran, memudahkan pemahaman pelajar terhadap isi pelajaran contohnya melalui penggunaan imej, video dan contoh visual yang lain dan meningkatkan motivasi pelajar dengan menyampaikan kandungan pelajaran secara menarik dan lebih interaktif. Dengan kata lain, media pengajaran adalah untuk memudahkan penyampaian bahan pelajaran, memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar melalui penglibatan aktif dalam pembelajaran, meningkatkan kemahiran berfikir kritis dan menyediakan akses pembelajaran dalam pelbagai persekitaran dan masa.

Guru seharusnya peka kepada faktor-faktor yang mempengaruhi pemilihan dan penyediaan media pengajaran dan pembelajaran. Pemilihan media pengajaran yang sesuai dan releven akan meningkatkan kualiti pembelajaran dan membantu dalam perkembangan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lebih lancar, berkesan dan lebih cekap tanpa pembaziran masa. Penyediaan media pengajaran haruslah melalui langkah-langkah seperti pencetusan idea, menyatakan objektif, analisis pelajar, mengumpul dan menyusun bahan, menukar idea ke bentuk visual, merancang penglibatan pelajar, semak perancangan dan penerbitan. Selepas penggunaan media pengajaran, haruslah dianalisis semula media tersebut samaada ia berkesan atau tidak. Sekiranya masih kurang berkesan, maka perlulah disediakan semula media pengajaran tersebut.

       Walau bagaimanapun, adalah penting untuk diingati bahawa media pengajaran tidak boleh dianggap sebagai pengganti kepada peranan guru atau interaksi antara guru dan pelajar. Guru kekal sebagai elemen utama dalam memberikan bimbingan, memberikan penerangan, dan menyokong proses pembelajaran pelajar. Media pengajaran hanyalah alat yang dapat memperkayakan pengalaman belajar tetapi keberhasilannya bergantung kepada seberapa baik media tersebut diintegrasikan ke dalam proses pembelajaran secara keseluruhan. Penggunaan media pengajaran hendaklah diseimbangkan dengan strategi pengajaran yang berkesan dan perlu diberi perhatian terhadap keperluan dan ciri-ciri pelajar. Dengan memanfaatkan media pengajaran dengan tepat, diharapkan proses pembelajaran menjadi lebih menarik, efisien dan bermanfaat untuk pengembangan pengetahuan dan keterampilan pelajar.

No comments:

Post a Comment